Thursday, February 7, 2019

IKON BAHARU MUADZAM SHAH


Dalam usaha mewujudkan produk tarikan di Bandar Muadzam Shah di sini, sekumpulan pelajar Politeknik Muadzam Shah dari dua jabatan iaitu Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual dan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti telah berganding bahu untuk menghasilkan lukisan dinding yang kini menjadi trend di beberapa bandar lain dalam negara ini.

Hasil lukisan seni ini diberi nama Tembok Muadzam  yang kini sudah mula menjadi tarikan penduduk setempat yang berkunjung untuk sesi bergambar. Koordinator Projek, Irma nur Syahirin Ali Zaini, 21 berkata, projek lukisan yang melibatkan pelbagai konsep seperti doodle art, mural dan 3D tersebut telah berjaya disiapkan dalam masa lima hari setelah diberi kebenaran oleh Majlis Daerah Rompin (MDR).

Pada mulanya idea menjalankan projek ini timbul setelah berbincang dengan sembilan rakan lain yang mahu mencari sesuatu yang mempu menjadi tarikan supaya bukan sahaja untuk penduduk setempat tetapi pelancong tempatan dan luar berkunjung ke sini.
"Tidak sangka pula mendapat kerjasama yang sangat baik dari pihak MDR dan pelajar JRKV yang akhirnya projek Tembok Muadzam ini berjaya disiapkan. Saya lihat kini ia mula menjadi tarikan bagi penduduk setempat bersantai mengambil gambar, " katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi, lebih berasa puas setelah ia disiapkan kerana semua yang terlibat terpaksa mengeluarkan wang sendiri dan dikumpul untuk membeli cat serta peralatan dengan anggaran kos sebanyak RM 2,000.00. Sambutan dan respons yang sangat baik diberikan oleh masyrakat setempat setakat ini turut menjana semangat positif dan tidak mustahil akan ada lagi projek sebegini pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Muadzam Shah, En. Wan Muhammad Afifi Wan Abdullah turut berbangga dan gembira dengan usaha pelajar yang mencipta sesuatu dalam usaha menghasilkan produk yang mempu menjadi tarikan pelancong ke Muadzam Shah.

No comments:

Post a Comment